"..Salam Ukhwah Dan Salam Silaturahim Buat Para Pembaca Blog PEPIAS Ampang.."

April 1, 2010

Mudahnya Mengeluh, Sukarnya Bersyukur




Begitu mudah sekali melontarkan keluhan. Keluhan demi keluhan keluar dari bibir tanpa disedari. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Kita mengeluh dan asyik mengeluh. Andai dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala kita ditimbuni dengan pelbagai kesenangan.

Kita mengeluh kerana makanan kegemaran tidak disediakan, sedangkan perut semakin memboyot kekenyangan. Kita mengeluh kerana kepanasan, sedangkan angin semula jadi disediakan tanpa bayaran. Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan sebanyak buih dilautan dibiarkan.

Allah s.w.t berfirman "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya" (An-Nahl: 18). Di saat kita tenggelam dalam keluhan diri sendiri, pancaindera kita tidak lagi mampu memainkan peranannya untuk melihat, mendengar, merasai dan menghayati pemberian Allah yang tiada henti-hentinya. Lantaran itu, begitu sukar sekali untuk menyebutkan kalimat Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada khaliqnya. Itulah hakikitnya. Memang manusia sentiasa leka dan lupa. Manusia mempunyai keinginan yang tiada batasan. Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki..Kecuali orang-orang yang bersyukur.

Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: "Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit" Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?" Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur" Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah" jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu"

SubhanaLlah. Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin...

Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Ibrahim: 7)



artikel dipetik dari www.iluvislam.com

March 24, 2010

Minal Qalbi ilal Qalbi (Dari Hati Ke Hati)

"Maafkan saya kak, saya dah tak mampu nak join kawan-kawan lain, ikut program lagi. Saya nak......"
Husna mengeluh panjang dan berat, sambil menahan gejolak hatinya yang kencang. Berat sekali untuk meneruskan kata-kata yang hendak ia ucapkan buat murabbinya. Tapi di waktu lain, dia benar-benar merasakan dia tak mampu untuk bersama-sama dengan jemaah dakwah yang dia sertai selama ini.

Fikiran Husna menerawang jauh mengenangkan detik-detik awal dia memasuki dunia dakwah. Husna akui bahawa tarbiyahnya yang selama ini dia ikuti memberi impak yang sangat besar kepada pembentukan peribadinya. Dia mampu mengenakan busana muslimah secara sempurna kerana tarbiyahnya dan dia juga temukan keindahan ukhuwah dengan tarbiyah, bahkan dia mampu ‘bekerja’ sekarang kerana tarbiyah.
Tapi saat ini, keindahan ukhuwah yang dulu pernah dia rasakan terasa begitu hambar. Kemesraan dan kecintaan yang dibina bersama teman-teman sehalaqah sudah mula memudar. Husna merasakan teman-temannya terlalu cepat berjalan dan dia tertinggal jauh. Mereka begitu sibuk dengan amanah dakwah masing-masing, sementara pada waktu yang sama dia berasa tenggelam, malas dan letih dengan semua itu. Dia pun tak tau mengapa. Dia ingin teman-temannya mengerti kelemahan jiwanya dan membantunya keluar daripada jeratan-jeratan maksiat yang menjadi asbab kepada kemunduran semangatnya.
Namun ketika mahu dia luahkan pada mereka, dia lantas berasa sangat malu. Teman-temannya asyik membincangkan masalah dakwah bersama murabbinya sehingga Husna tak sampai untuk mengucapkannya.

"Ala.. masalah kecik je, diorang mesti rasa buang masa je untuk cerita" Begitu fikirnya. Akhirnya dia tenggelam keseorangan menelan permasalahannya sehinggalah dia mencari teman-teman di luar komuniti dakwahnya untuk sekadar melabuhkan masalah di hati.

Fenomena di atas bukanlah sesuautu yang mustahil dalam putaran dakwah. Jatuh bangunnya aktivis dakwah dalam meniti jalan ini, fenomena futurnya iman serta berguguran jundi-jundi dakwah adalah biasa dalam perjuangan ini. Itu adalah sunnatullah. ‘Imanu Yazid way an quz- Iman itu naik dan turun’.
Akan tetapi yang patut disesalkan adalah ketika berjatuhannya aktivis dakwah ini bukan kerana mereka tidak mahu bangun dan kembali bersama dakwah, tetapi kerana orang-orang yang disekelilingnya tidak mahu membantunya bangkit semula bahkan tidak peduli sama sekali kalau saudaranya sedang terjatuh. Inilah yang patut direnungi bersama.

Kisah Husna adalah satu contoh. Kadang-kadang seorang murabbi itu merasakan bahawa anak-anak buahnya sangat bagus sekali, mendengar pengisian dengan teliti dan bersemangat, mencatat nota dengan rapi, kemudian pulang ke rumah masing-masing dengan aman. Tiada masalah. Padahal di sebalik penampilan yang bagus di hadapan murabbinya, ada jurang kemaksiatan yang dilakukan tanpa pengetahunnya. Anak buah seterusnya mahu mengundur diri dan merasa diri tidak standing dengan teman-teman halaqahnya.

Kuncinya adalah berterus-terang

Mutu sesebuah halaqah itu sangat bergantung kuat pada kualiti dialog yang dibina di dalam halaqah itu. Tidak mungkin dialog-dialog itu mampu berlaku dengan bestnya jika tidak adanya keterbukaan pada jiwa individu(afrod) yang ada didalam halaqah tersebut. Keterbukaan di sini adalah berterus terang dalam menyampaikan segala permasalahan walaupun sekecil manapun masalah itu. Jangan memandang enteng sesuatu masalah itu jika itu memang memerlukan penyelesaian.

Bagi seorang murabbi tidak sebolehnya terlalu mempercayai bahawa ia telah memberikan banyak bahan dan terlalu yakin bahawa mad’unya telah menjadi kader-kader yang tidak mungkin jatuh tatkala tersadung batu ujian.
Lihat sahaja kisah terbukaan Kaab bin Malik di perang Tabuk pada Rasulullah. Panglima besar Islam itu tidak mahu berperang hanya kerana malas! Namun dia bersimpuh di hadapan Rasulullah sambil berkata, "wahai Rasulullah, andai aku berhadapan dengan selain engkau, aku yakin aku dapat mencari alasan, namun aku khuatir Allah akan membuatmu marah padaku dengan mengungkapkan kedustaan itu melalui wahyu…”

Apa yang ditonjolkan Kaab sudah cukup menjadi renungan kite semua akan erti keterbukaan,berterus terang dan kejujuran. Di sanalah kuncinya. Ketika seorang mad’u berterus terang akan kesalahannya, maka akan legalah hati, walaupun mungkin ianya memalukan. Di saat itulah motivasi rohani dari murabbi dan nasihat teman-teman harus segera diberikan untuk meng’upgrade’kan langkah-langkah yang sudah tertinggal.

Eratkan Kembali Ukhuwah

Satu lagi perkara yang berperanan besar dalam menjaga stamina ruhiyah seorang afrod (individu) dalam tarbiyah adalah ukhuwah. Kadang-kadang kerana kesibukan yang mencengkam, hak-hak ukhuwah yang seharusnya kita berikan kepada saudara kita menjadi terabai. Maka wajarlah bila kita rasakan sewaktu berprogram, pertemuan rutin menjadi kering tanpa makna. Kosong. Perkara sebegini haruslah diatasi. Sesibuk manapun aktiviti kita, hak-hak ukhuwah harus tetap kita berikan. Berwajah cerah ketika bertemu, saling berziarah sehingga kita tahu keadaan keluarganya,masalah yang sedang dihadapinya serta keadaan imannya. Cari masa untuk bermalam bersamanya agar dapat bertukar cerita sehingga kita boleh berempati ( empathy ) terhadap permasalahan saudara kita. Saling nasihat menasihati baik diminta ataupun tidak, saling bertukar-tukar hadiah dan saling mendoakan doa rabithah. Andai kesemua hak-hak ukhuwah tersebut kita tunaikan, akan menjadi tipislah kemungkinan untuk bergugurannya sahabat-sahabat kita di jalan dakwah, insyaAllah.

Akhirnya saudaraku, tarbiyah itu unik. Di situ bukan sahaja sekadar perpindahan(transfer) ilmu dan bahan, tetapi adalah proses bagi setiap individu di dalamnya untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Dan lebih dari itu, langkah-langkah ke arah menjadi lebih baik itulah yang menjadikan kita mengerti akan hakikat hidup berjemaah. Tarbiyah bukanlah segala-galanya, namun segala-galanya bermula dari tarbiyah.

February 8, 2010

Tangisan Keinsafan Pembersih Dosa

Bangun dan sujud pada tengah malam adalah amalan Rasulullah serta para sahabat.
Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.

Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak.
Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: "Letakkan pipiku di atas tanah."
Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: "Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?" Umar berkata lagi: "Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!"

Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya.

Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil bergurau. Baginda SAW bersabda maksudnya: "Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa."

Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.

a) Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari,
kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya.

Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta.
Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan
memohon pertolongan-Nya.


b) Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.

Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang
>yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala
jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.

Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan
kekerasan yang memadamkan kegembiraan.

Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada
kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?
Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini.
Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal soleh di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?


c) Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

> Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, > menumpah darah si polan dan memukul si polan.

Maka akan diberikan kepadaorang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti?
Pada tengah malam yang dingin,
bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar.

Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini.

Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.

December 31, 2009

Orang Islam bertutur baik

Oleh Mohd Shauki Abd Majid

DALAM Islam kata-kata kotor, makian serta ucapan menghina merupakan satu perkara yang sangat tercela dan dilarang. Sesungguhnya segala sumber kata-kata kotor atau nista itu timbul daripada watak yang rendah dan jiwa yang hina.

Kerana itu ada pendapat mengatakan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa: Jauhilah olehmu semua kata-kata kotor sebab Allah tidak suka kepada kata kotor atau yang menyebabkan timbulnya kata kotor dari orang lain.

Kata-kata kotor, nista, umpatan dan kejian menyebabkan manusia berkonflik, bergaduh dan seterusnya bersengketa sehingga berlakunya pembunuhan, pertumpahan darah dan lenyap sama sekali. Mungkin kita boleh jadikan teladan, bagaimana masyarakat Islam terus membenci bekas Presiden George W. Bush apabila beliau menyifatkan Iran dan Iraq sebagai “paksi kejahatan.”

Seluruh masyarakat Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung mengutuk pemberian gelaran itu terhadap negara-negara Islam.

Mempersendakan

Kita mungkin teringat dengan hukuman yang pernah diberikan oleh Ayatollah Khomeini apabila Salman Rushdie melukiskan perwatakan Nabi Muhamad SAW sebagai karikatur dan mempersendakan baginda. Mungkin juga kita tidak lupa dengan kata-kata pedih yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin tertentu bagi menggambarkan watak yang tidak disukainya. Dengan menggunakan kata-kata kesat, umpatan dan nista, Shahnon Ahmad telah meloyakan khalayak pembaca melalui perulangan kata-kata dalam novel Shit, dan pernah menimbulkan kontroversi kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan politik negara suatu ketika dahulu.

Mungkin kerana marah atau ada sesuatu yang terguris di hatinya, Shahnon Ahmad telah lupa bahawa Rasulullah SAW pernah memberikan peringatan bahawa: Seorang Mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah. Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya.

Dalam membuat sesuatu tuduhan, berkata-kata kita seharusnya menjadikan perilaku dan tutur kata Rasulullah SAW sebagai contoh yang terbaik. Baginda tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat, walaupun berhadapan dengan musuhnya.

Sebaliknya baginda membalas dengan senyuman dan menasihati secara berhemah dan tidak menyakiti atau melukai perasaan orang lain.

Anas bin Malik r.a pernah merakamkan bahawa: Tidak pernah Rasulullah SAW melakukan perbuatan keji, tidak pula kotor lidah (suka mengutuk) dan tidak pula mancaci maki. Ketika seseorang mencela baginda sebagai seorang yang kotor (berdebu) kerana banyak (sujud), baginda hanya mengatakan apa yang dia miliki.

Rasulullah SAW adalah seorang yang benar-benar memelihara lisannya. Sekalipun terhadap orang-orang kafir yang menentang dakwahnya. Baginda tidak mudah mengeluarkan kata-kata laknat atau menyakitkan hati.

Abu Hurairah berkata bahawa ia menemui seorang lelaki yang ketagihan arak. Lalu dihadapkan lelaki itu kepada Nabi Muhamad SAW agar dihukum. Di antara para sahabatnya ada mengatakan: “Saya memukul dengan tangan”, “saya memukul dengan kasut” dan “saya memukul dengan baju.”

Ketika lelaki itu berpaling (ke arah sahabat), seorang sahabat menyatakan semoga Allah SWT menghinamu! Maka bersabdalah Rasulullah SAW yang bermaksud: Janganlah kamu meminta bantuan syaitan dalam menghadapinya.

Daripada Abu Darda r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Aku memohon kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, doakanlah (kecelakaan) bagi orang-orang musyrik. Rasulullah menjawab: Sesungguhnya aku diutus bukan untuk melaknat (mengutuk), tetapi aku diutuskan untuk memberi rahmat.

Begitulah citra peribadi Rasulullah SAW, dengan akhlak yang luhur telah memberikan contoh kepada manusia agar selalu menghindari sebarang tindakan secara melulu dan selalu sabar dalam menghadapi setiap rintangan atau masalah.

Dalam konteks ini jelas sekali sikap berlebih-lebihan dalam beragama yang menjadi pegangan sesetengah orang bukanlah daripada ajaran Islam. Ini kerana Islam lebih mendahulukan sikap pertengahan atau kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Islam mengingatkan setiap umatnya agar tidak terjerumus pada dua kesesatan iaitu berlebih-lebihan atau sikap lalai. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka dan bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat. (Surah Al-Fatihah: 6-7)

Di dalam masyarakat Islam tidak ada tempat bagi kaum Muslimin untuk meremehkan nilai-nilai luhur yang dijunjung oleh Islam. Masyarakat Islam menjunjung tinggi nilai-nilai moral dan kemanusiaan yang luhur dalam kehidupan umat manusia. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Tahukah kamu siapa yang disebut orang bankrap itu. Para sahabat menjawab: Orang yang tiada lagi mempunyai wang dan harta.” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Orang yang bankrap adalah yang datang pada hari kiamat amalan solat, puasa dan zakat, tetapi bersamaan itu juga ia telah mencaci maki, menuduh, memakan harta tidak halal, mengalirkan darah (tanpa hak) dan memukul ini dan itu.

Maka amalan baiknya dilimpahkan kepada orang yang berhak menerimanya (yang ia caci) dan jika amalan baiknya habis pada hal belum dapat menutup kesalahannya maka kesalahan (orang yang dicaci itu) dilimpahkan kepadanya, kemudian ia ditempatkan ke dalam neraka.

Seorang Muslim itu perlu memelihara lisan atau lidahnya daripada mencaci maki, walaupun dengan alasan yang kuat. Lebih utama memadamkan api kemarahan itu agar tidak terjadi permusuhan yang menyeret kepada perbuatan dosa.

Daripada Ali bin Abi Talib r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Yang berbuat keji dan menyiarkan kekejiaan itu berada dalam keadaan sama-sama berdosa.

Firman Allah yang bunyi: Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci dan pengkeji. (Surah Al-Humazah:1)

Dalam ayat ini, Allah SWT mengutuk perbuatan jahat iaitu menyebarkan fitnah, bercakap ataupun mengisyaratkan perkara yang jahat sama ada terhadap seorang lelaki atau perempuan dengan kata-kata ataupun secara isyarat, atau perangai, atau secara mengajuk-ajuk, ataupun sindiran atau caci maki.

Sesungguhnya Allah SWT itu pemalu, penutup (cela), menyukai malu dan tertutup, maka apabila salah seorang kamu mandi maka hendaklah ia ditutup.

Demikian juga firman Allah SWT yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Bukanlah tergolong daripada orang mukmin yang suka mencela, mengutuk dan mengeji. Dan bukan pula mereka yang berlidah kotor. (Surah An-Nahl: 25)

Dari ayat-ayat al-Quran serta beberapa hadis yang tersebut jelaslah membuktikan bahawa Islam melarang umatnya mencarut dan memaki hamun sesama muslim.

Ini kerana kerja-kerja mencarut adalah kegiatan dan perbuatan syaitan. Bagi mereka yang masih tegar dengan pengucapan negatif bagi mewajarkan kenyataan berbaur fitnah, nista dan cela bersandarkan pendapat bahawa Islam tidak melarang umatnya mencarut adalah satu usaha pemesongan dan bertentangan dengan budaya Islam. Mohonlah perlindungan Allah SWT daripada sifat yang buruk.

September 1, 2009

ADAB BERJEMAAH

MUQADDIMAH

Ia bermula daripada ikrar syahadah dan menunaikan tuntutannya dalam diri setiap individu, rumahtangga, bermasyarakat sehinggalah perkara yang tidak dilakukan oleh jamaah-jamaah lain secara tegas, iaitu menegakkan negara Islam.

Maka dengan itu, ia telah membezakan kita dengan parti-parti, jamaah-jamaah dan kumpulan-kumpulan lain termasuklah yang bernama Islam.

Prinsip ini menyebabkan kita menghadapi cabaran lebih banyak dan hebat, namun kita terus maju dan berkembang. Walaupun demikian, kita perlu memenuhi tuntutan-tuntutan yang berkait dengan setiap ahli di semua peringkat demi mencapai kemenangan yang dijanji kurnia oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa dia akan menjadikan mereka itu khalifah (orang yang memerintah dengan Islam) di atas bumi sebagaimana dia pernah mengurniakan khilafah kepada orang -orang yang terdahulu daripada mereka. Dia akan menjadikan agama mereka (Islam) yang Dia redha memerintah untuk mereka dan Dia akan menukarkan kepada mereka suatu keadaan selepas berada dalam ketakutan kepada keamanan. Mereka itu menyembahKu, tidak menyekutuiKu dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang menjadi kufur selepas itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Al-Nur: 55)

Perlu difahami juga bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar yng benar tanpa membina peribadi dengan akhlak-akhlak berparti atau berjamaah.

Oleh itu, maka saya kemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk menjadi perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.

Akhlak Berparti

Dalam meniti liku-liku perjuangan Islam, ianya penuh dengan ujian, mehnah dan tribulasi yang begitu mendesak. Justeru, pada diri seseorang pejuang Islam itu perlu dihiasi dengan keindahan Islam dan diwarnai dengan akhlak berjamaah agar sepanjang merentasi ujian ini sentiasa dinaungi oleh rahmat Allah s.w.t.

Ini amat penting agar pertolongan Allah sentiasa bersama para pejuang. Bagi meletakkan perjuangan kita diterima dan direstui oleh Allah s.w.t. serta mendapat pertolongan daripadaNya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1.Ikhlas

Mestilah ikhlas yakni mampunyai niat yang benar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan di dalam negara yang melaksanakan hukum syariat.

Maksudnya: “Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. telah menceritakan kepada kami, katanya : seorang arab Badwi datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu dia bertanya : “Orang yang berperang kerana mahukan ghanimah (harta rampasan), orang yang berperang supaya disebut (menjadi masyhur), berperang kerana riak (menunjuk-nunjuk kepada orang), maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berperang supaya kalimah Allah (agama Islam) itu menjadi paling tinggi maka dialah yang berperang pada jalan Allah.” (Muttafaq’Alaih)

Yang dimaksudkan dengannya perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan sama ada melalui cara pilihannya sehinggalah berperang di negeri yang tidak ada cara yang lain daripadanya mestilah dengan niat yang ikhlas.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.” (Al-Baiyinah: 5)

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadith. Maksudnya:

“Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung keapda niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seseorang perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila mengikhlaskan niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti ‘ujub dan sum’ah.

Allah s.w.t. telah mengajar generasi awal di kalangan umat Islam dalam beberapa peristiwa di zaman Rasulullah. Di antara peristiwa-peristiwa itu ialah peristiwa uhud dan Hunain yang mejadi iktibar sepanjang zaman.

Dalam kes ini di Uhud, Allah s.w.t. telah berfirman, maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janjiNya kepada kamu ketika kamu membunuh mereka dengan izinNya sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusanitu dan menderhakai perintah rasul sesudah Allah memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu sukai, di antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah mempunyai kurnia atas orang-orang yang beriman.” (Ali ‘Imran: 152)

Allah s.w.t. juga telah berfirman berkenaan dengan peristiwa Hunain, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu di medan peperangan yang banyak dan pada hari berlaku peperangan Hunain ketika kamu megah dengan diri sendiri kerana ramainya jumlah kamu, mak jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikitpun dan bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu lari ke belakang bercerai-berai, kemudian Allah menurunkan kemenangan kepada rasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dn Allah mengazabkan orang-orang kafir dandemikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir, kemudian Allah menerima taubat dari orang-orang yang dikehendakiNya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al -Taubah: 25 – 27)

2. Percaya dengan baik kepada Allah (husnu al-thiqah billah), memohon pertolonganNya dan percaya kepada janjiNya.
Seseorang yang menceburkan dirinya dalam perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjiNya di dunia dan akhirat.

Perkara ini hendaklah dinyatakan dengan mengadakan hubungan yang baik dengan Allah dengan sifat taqwa, mengerjakan perintah dan meninggalkan laranganNya, sehingga ia tidak boleh dijelaskan oleh amaran, sogokan dan bagaimana sekalipun keadaan dan sifat-sifat musuh-musuh Islam itu dan sehingga tidak ada di dalam diri perasaan tidak ada harapan untuk mencapai kemenangan bagi menegakkan cita-cita Islam dan juga perasaan tidak yakin dengan janji Allah s.w.t. di akhirat.

Orang-orang yang berjuang bersama Rasulullah s.a.w. yang melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada suatu wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar dan situasi yang terang-terang menandakan kemenangan Islam,mereka percaya kepada firman Allah,maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah mesti menolong orang yang menolong agamaNya, dan Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang kami bolehkan kepada mereka memerintah di bumi mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran da bagi Allah akibat segala urusan.” (Al-Hajj: 41)

Rasulullah tidak menerima Bani Amir kerana mereka meminta jawatan sebelum mencapai kemenangan dan tidak menerima Bani Syaiban kerana mereka takut menghadapi Parsi yang menjadi kuasa besar dunia dn tidak yakin bahawa Islam dapat menumbangkan Parsi dan Rom.

Tetapi sebaliknya berbai’ah dengan aus dan Khazraj yang percaya kepada Allah dan janjiNya di dunia bahawa Islam akan menang dan jnji kebahagiaan di akhirat. Lalu mereka menunaikan perintah Allah dengan patuh dan menhadapi penghalangnya yang datang dari segenap penjuru dan sentiasa menunggu wahyu dan sabda untuk dilaksanakan dan diperjuangkan.
3.Istiqamah

Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain dan hanyut bersama arus jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah berfirman kepada Musa a.s. dan Harun a.s. yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya maksudnya:

“Allah berfirman: Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orangyang tidak mengetahui (peraturan janjiKu).” (Yunus: 89)

Firman Allah s.w.t. kepada nabi kita Muhammad s.a.w., maksudnya:

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud: 112 – 113)

Dalam peristiwa yang lain pula dinyatakan, apabila sufyan bin Abdullah berkata kepada Rasulullah s.a.w., maksudnya:

Daripada Sufyan bin ‘Abdullah al-Thaqafi katanya: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan kata-kata yang jelas sehingga aku tidak perlu lagi beranyakan mengenainya kepada seseorang yang lain daripadamu. Sabda Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.” (Riwayat Ahmad)

Para rasul dan para sahabat adalah orang-orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah itu sangat penting dan mestilah berterusan kerana ia menjadi tunggak dan cara untuk mendapatkan pertolongan Allah s.w.t., bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya menjadi sia-sia.
4.Taat

Ketaatan itu lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut. Apabila kepimpinan mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya.

Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa kelapangan dan kesempitan dalam perkara yang tidak maksiat. Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Al-Nisa’: 59)

Rasulullah s.a.w. telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antaranya ialah Bai’ ah al-‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah yang merupakan perintah yang sangat penting yang membawa kepada tertegaknya sebuah negara Islam. Di dalam bai’ah itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di masa cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang,menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah s.w.t. tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbai’ah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, ister-isteri kamu dan anak-anak kamu dan untuk syurga.” (Riwayat Ahmad)

Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

Ketaatan membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti dan melaksanakan amal jama’ie yang tidak boleh dijejaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti menjadi celaru dan tidak selaras di antara satu sama lain.

Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbaga-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.
5.Ukhuwwah (persaudaraan Islam)

Ahli-ahli parti dan penyokongnya di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat dengan teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain.

Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka Rasulullah s.a.w. menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar. Melalui hubungan persaudaraan ini, maka keteguhan saf di dalam perjuangan Islam itu dapat diwujudkan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saff: 4)

Sebarang kekosongan yang memutuskan saf nescaya dicelah oleh syaitan yang dapat menjejaskan jentera parti dan perjalanannya.

Kegiatan usrah adalah sebahagian daripada langkah mengeratkan persaudaraan, kerana perkataan usrah yang bermakna keluarga itu adalah lebih bertujuan untuk menjalinkan hubungan dan menyelesaikan masalah secara kekeluarga, adapun penekanan ilmu lebih ditumpukan dalam majlisnya sendiri iaitu majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh parti, begitu juga dengan kerja-kerja kebajikan di kalangan ahli-ahli parti yang mewujudkan berlakunya tolong menolong di antara satu sama lain.

Demikian juga sebarang perhimpunan dianjurkan oleh parti dengan meyusun petugas-petugasnya dapat menjalinkan tolong- menolong yang mengeratkan persaudaraan.

6.Kerahsiaan

Perjuangan Islam ini dikepung oleh musuh-musuh yang ramai dari segenap penjuru, mereka sentiasa mengintip segala kegiatan parti untuk menentangnya, oleh itu kita tidak boleh boros dengan kenyataan yang mendedahkan kerahsiaan, membongkar perkara-perkara dalaman yang tidak patut dibuka kepada umum sehingga mendedahkan kelemahan kepada musuh dan memberi kemudahan kepada mereka untuk memukul dan melumpuhkan parti serta menggagalkan perjalanannya.

Sirah Rasulullah s.a.w. banyak mengajar kita di dalam perkara ini secara praktikal, di mana kemenangan banyak dicapai dengan cara-cara yang mengejutkan musuh dan mereka tidak ada ruang untuk mengambil kesempatan dari beberapa kelemahan yang ada.

Parti bukan sahaja perlu menyusun strategi yang baik dan rapi tetapi juga perkara-perkara yang menjadi suatu kerahsiaan yang tidak boleh diumumkan , adalah tidak wajar semua ahli mengetahui segala yang dirangka oleh kepimpinan termasuklah perkara yang perlu dirahsiakan. Adalah tidak bijaksana sekiranya untuk mengumumkan semua perkara dan ahli-ahli menekan dalam perkara ini sehingga menjejaskan ketaatan dalam melaksanakan tugas parti.

Sebaliknya sebarang rahsia musuh yang dapat dikesan sama ada kecil ataupun besar hendaklah dilaporkan kepada parti.
7.Tidak leka dengan pencapaian yang ada

Seringkali berlaku apabila terdapat sedikit kemajuan atau kemenangan menyebabkan berlakunya kelekaan dalam menjalankan tugas dan memberi sumbangan kepada parti. Allah s.w.t. telah menegur para sahabat r.a. apabila mereka memandang ringan kepada kewajipan jihad setelah mencapai beberapa kemenangan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)

Seringkali berlaku di negeri atau kawasan yang mencapai kejayaan berlakunya kecuaian walaupun untuk mempertahankan kemenangan itu, sehingga tugas-tugas parti menjadi perkara-perkara sampingan.

8.Menunaikan janji dan beriltizam dengannya

Allah s.w.t. telah memberi penegasan dalam perkara ini dengan firmanNya yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak ( mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Nahl: 91)

Samada perjanjian dengan jamaah atau perjanjian sesama sendiri dan termasuklah juga perjanjian dengan musuh-musuh hendaklah ditunaikan dan disempurnakan dengan baik. Sebarang kemungkinan boleh menghilangkan kepercayaan di antara satu sama lain dan menghilangkan kewibawaan.

9.Tidak melampau

Allah s.w.t. melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah salasiyah.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

"Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (Al-Baqarah: 190)

Penutup

Demikianlah sebahagian daripada perkara yang perlu diberi perhatian dan dibincangkan di samping bermuhasabah kepada diri sendiri dan parti supaya perjuangan kita diterima, diredhai Allah dan dikurniakan kemenangan dunia dan akhirat.