"..Salam Ukhwah Dan Salam Silaturahim Buat Para Pembaca Blog PEPIAS Ampang.."

June 15, 2009

Berkaitan Solat

UMAT Islam perlu mengetahui
bahawa ada lima waktu yang dimakruhkan untuk solat tanpa sebab, iaitu
selepas Asar, selepas Subuh, waktu tepat jatuh matahari, terbit atau
terbenamnya matahari.

Bagaimanapun, untuk
melakukan solat yang bersebab seperti mengqada solat sunat rawatib atau
kerana gerhana atau untuk menyembahyangkan jenazah, maka waktu itu
tidak dimakruhkan.

Antara rahsia larangan itu
adalah untuk menjaga supaya tidak sama dengan penyembah matahari yang
mungkin menimbulkan daya penarik atau perbuatan ke arah itu. Jadi,
membiarkan waktu itu berlalu terlebih dulu adalah sebagai tambahan
perhatian serta perintah bagi menjaga kesucian Islam.

Diriwayatkan
bahawa Rasulullah s.a.w. pernah sembahyang dua rakaat selepas Asar,
lalu baginda ditanya: “Bukankah Tuan melarang kita untuk bersembahyang
pada waktu ini?”

Baginda s.a.w. menjawab: “Dua
rakaat yang saya sembahyang itu tadi semestinya saya lakukan selepas
Zuhur, tetapi saya sibuk kerana ada perutusan yang datang.”

Aisyah
r.a berkata: “Rasulullah s.a.w. itu apabila tertidur atau sakit,
sehingga pada malam harinya itu tidak sempat bangun, maka baginda
selalu bersembahyang untuk yang ditinggalkan itu pada permulaan hari
sebanyak 12 rakaat.”

Oleh itu, barang siapa yang
meninggalkan sesuatu wirid kerana keuzuran, janganlah memberikan
keringanan kepada dirinya untuk terus meninggalkan perbuatan itu tetapi
hendaklah dipenuhi pada waktu lain.

Langkah itu
bagi memastikan diri kita tidak dibiasakan dengan kelalaian,
meninggalkan atau memandang mudah saja. Jadi, memenuhinya itu amat baik
dengan tujuan untuk menggiatkan diri dan melakukan secara tetap dan
tertib supaya menjadi amalan berterusan.

Berikut adalah beberapa masalah yang perlu diketahui mengenai solat:

Sedikit
perbuatan, sekalipun tidak membatalkan solat hukumnya makruh, melainkan
jika ada keperluan. Contohnya, menolak orang yang hendak berjalan di
depannya, membunuh kala atau keinginan untuk menggaru gatal pada tubuh
yang mengganggu kekhusyukan.

Ketika seseorang
itu menguap, tidak mengapa jika meletakkan tangan di mulutnya. Jika
bersin, hendaklah dia memuji Allah dengan mengucapkan Alhamdulillah
dalam hati saja dan tidak menggerakkan lidah, manakala apabila sendawa,
janganlah mengangkat kepala ke atas.

Jika
berjemaah dan hanya ada seorang makmum saja, disunatkan seseorang itu
berdiri di sebelah kanan imam dan berada di belakangnya sedikit. Kalau
makmum hanya seorang wanita, maka hendaklah berdiri tepat di belakang
imam. Jika dua orang makmum, seorang lelaki dan seorang perempuan, maka
si lelaki berdiri di sebelah kanan imam seperti di atas dan wanita pula
di belakang makmum lelaki itu.

Bagi makmum
masbuq yang sempat bersolat pada akhir perbuatan dalam solat bagi imam,
maka itu dianggap permulaan solatnya. Dia perlu menyesuaikan amalannya
dengan amalan imam itu dan hendaklah meneruskan secara sendirian
apabila imam selesai.

Dalam solat Subuh, makmum
masbuq hendaklah membaca doa qunut sekali lagi sekalipun sudah mengikut
imam membacanya pada rakaat sebelum itu. Jika mendapati imam sudah
berdiri, maka jangan memulakan solat dengan membaca doa Iftitah
sebaliknya terus membaca al-Fatihah.

Sekiranya
imam rukuk pada hal dia belum selesai membaca al-Fatihah, tetapi
mengagak mampu menyusul imam ketika iktidalnya dari rukuk selepas itu,
maka lebih baik bacaan al-Fatihah diselesaikan saja. Tetapi, sekiranya
tidak dapat menyusul imam, maka baiklah mengikut amalan imam dan terus
rukuk.

Jadi, sekalipun hanya sempat membaca
sebahagian saja al-Fatihah, gugur kewajipan membaca keseluruhannya
kerana kemasbuqan makmum berkenaan. Seterusnya, apabila makmum datang
ketika imam dalam keadaan sujud atau bertasyahhud, maka dia hendaklah
terus bertakbiratul ihram lalu duduk.

No comments:

Post a Comment